arena

Tchetche kecewa

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Selepas lama berdiam diri, kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche akhirnya bersuara dengan meluahkan anugerah peribadi yang diraihnya langsung tidak bermakna selepas gagal menjulang trofi Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Penerima anugerah penjaring terbanyak Piala Malaysia musim 2018 itu mengakui, tidak dapat 'tidur lena' apabila gagal menamatkan aksi sehingga masa tambahan selepas diusung keluar pada penghujung babak kedua akibat kecederaan.

Walaupun empat hari sudah berlalu, rasa kesal dan bersalah terus menyelubungi pemain kelahiran Ivory Coast itu kerana gagal menunaikan ‘janji’ kepada peminat untuk berjuang hingga ke wisel penamat.

"Ya saya begitu sedih kerana tidak dapat membantu pasukan merangkul trofi Piala Malaysia selepas penantian selama 17 tahun. Sedangkan kami bermula agak baik dan mendahului lawan 2-0 pada babak pertama perlawanan.

"Lebih menyedihkan, saya tidak dapat menghabiskan baki perlawanan kerana mengalami kecederaan serius yang memaksa saya dikeluarkan.

"Walaupun muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia (sembilan gol), tetapi kedukaan saya tidak terubat apabila gagal merangkul piala berprestij di Malaysia itu," katanya.

Pada aksi itu, pemain yang digelar 'Drogba Ganu' berjaya mencetak dua gol, namun TFC tumpas 1-4 kepada Perak menerusi penentuan sepakan penalti, selepas kedudukan terikat 3-3 pada masa tambahan.

Mengulas lanjut, Tchetche yang mula menyarung jersi skuad Penyu sejak pertengahan musim lalu turut mengakui begitu kecewa kerana gagal meraih sebarang kejuaraan musim ini walaupun trofi Piala Malaysia hampir dalam dakapan.

"Saya kecewa kerana gagal meraih sebarang gelaran musim ini, tetapi itulah bola sepak, kita tidak dapat jangkakan biarpun gelaran Piala Malaysia hampir berada dalam genggaman," kata pemain berusia 30 tahun itu.

Mengenai kecederaannya, bekas pemain kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu berkata, dia perlu berehat beberapa minggu sebelum pulih sepenuhnya kerana mengalami kekejangan pada paha.

Mengulas provokasi melampau aksi tarian lucah dua pemain import Perak, Wander Luiz dan Leandro Dos Santos ke atas pemain import TFC, Igor Zonjic pada perlawanan itu, Tchetche berkata ia tidak sesuai dilakukan.

"Saya fikir tindakan itu tidak bagus dalam bola sepak dan ia tidak perlu dilakukan apatah lagi di Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 11:48am
d