arena

'Usah bandingkan dengan Zidane'

Oleh Agensi

MADRID: Ketika Santiago Solari bersiap sedia menempuh perlawanan pertama bersama Real Madrid, pengendali sementara kelab gergasi Sepanyol ini tidak gemar jika dibandingkan dengan legenda kelab, Zinedine Zidane. 

Solari dinamakan selaku pengemudi sementara kelab apabila Julen Lopetegui dipecat selepas kekalahan memalukan 1-5 kepada Barcelona pada pertembungan El Clasico, Ahad lalu.

Bekas pemain antarabangsa Argentina yang juga pemain tengah Real Madrid ini dinaikkan pangkat untuk mengemudi kelab utama dan sebelum ini menjadi jurulatih pasukan kedua Madrid, Castilla.

Sebelum ini, Zidane juga pernah melakukan perkara sama pada 2016, namun Solari lebih gemar memilih untuk merendah diri.

“Biarkan beliau hidup dengan tenang, Zinade adalah seorang daripada ikon terhebat Real Madrid,” katanya.

“Tiada kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan Zizou, biarkan beliau dengan kehebatannya dan jangan bandingkan kami. Tiada sesiapa layak dibandingkan dengannya.

Zidane mengemudi Madrid untuk tempoh dua tahun setengah dan berjaya membawa kelab menjulang trofi Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali berturut-turut dan memenangi gelaran La Liga, sebelum meletak jawatan pada Mei lalu.

Solari pula akan mengemudi Madrid buat pertama kali dalam pertembungan Copa del Rey menentang Melilla, esok namun beliau berdepan tugas sukar dan cukup terdesak untuk mendapat keputusan positif secepat mungkin.

Selepas mengharungi 10 perlawanan La Liga setakat ini, skuad Los Blancos ketinggalan tujuh mata di belakang Barcelona yang mendahului saingan dengan 21 mata, satu mata mengatasi pasukan tangga kedua, Alaves.

Kelab itu juga perlu bekerja keras untuk terus kekal dalam saingan Liga Juara-Juara jika mahu melangkah ke pusingan kalah mati.

Madrid kini meraih enam mata selepas tiga perlawanan tetapi cuma berjaya mempamerkan aksi menyakinkan ketika menumbangkan AS Roma 3-0, pada aksi pembukaan.

 

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 3:44pm
d