arena

Nantikan ngauman Harimau Malaya

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Malaysia akan kembali ‘mengaum’ sebagai antara lima negara terbaik Asia menjelang 2030 menjadi misi utama yang terkandung dalam Peta Hala Tuju atau ‘Roadmap’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dilancarkan hari ini.

Peta hala tuju dalam tempoh 12 tahun yang diberi nama F:30 itu terbahagi kepada tiga pelan strategik iaitu fasa pertama (2019-2022) untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan, pembangunan modal insan dan infrastruktur disusuli fasa kedua (2023-2026) untuk mencapai peringkat Asia.

Fasa ketiga (2027-2030) pula bertujuan melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia.

F:30 dirasmikan secara bersama oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino; Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, di ibu negara, sebentar tadi.

Hadir sama Ahli Majlis FIFA, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John serta ahli jawatankuasa eksekutif FAM dan perwakilan dalam kalangan ahli gabungan badan induk itu.

Hamidin berkata, peta hala tuju ini adalah agenda negara dan memerlukan pembabitan semua pihak untuk mencapai objektif yang sama sekali gus merealisasikan visi ini.

Malah, Hamidin menyifatkan F:30 sebagai simbol kesungguhan FAM melaksanakan pelan pembangunan menyeluruh di setiap lapisan ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara bola sepak yang disegani.

“Tempoh 12 tahun adalah sasaran yang realistik selepas mengambil kira ekosistem bola sepak tempatan ketika ini.

“Teras kepada peta hala tuju ini ialah memperkasakan ahli gabungan dari sudut pembangunan modal insan dan pertandingan, pengenalan DNA bola sepak Malaysia menerusi kurikulum kejurulatihan yang seragam, serta pembangunan akar umbi yang mantap.

“Dalam peta hala tuju ini juga, FAM bercadang mewujudkan sekelompok pengadil profesional bertujuan meningkatkan mutu pengadilan,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 5:46pm
d