arena

Tak perlu lapor kepada FIFA, AFC

Oleh Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU: “Kami menaruh keyakinan penuh kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan tidak berhasrat memanjangkan isu ini kepada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) atau AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).”

Demikian tegas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berhubung laporan mengenai salah laku pengadil dan kelemahan pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu, yang dihantar kepada FAM semalam.

Beliau berkata, PBSNT tidak berhasrat memanjangkan laporan itu kepada FIFA atau AFC, malah persatuan itu juga tidak menuntut maklum balas atau tindakan oleh FAM terhadap pengadil kontroversi, Suresh Jayaraman.

“PBSNT menaruh keyakinan penuh dengan kemampuan FAM mengendalikan isu salah laku dan kegagalan Suresh sebagai pengadil pada aksi final Sabtu lalu.

“Dalam laporan kepada FAM itu, kami hanya menyatakan ketidakpuasan hati pengadilan dan menyenaraikan beberapa kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan Suresh.

“Antara salah laku yang dibangkitkan adalah tindakan Suresh tidak menghentikan perlawanan ketika pegawai perubatan merawat pemain tengah, Lee Tuck dan penjaga gol TFC, Suffian Abdul Rahman yang mengalami kecederaan.

“Tindakan itu pelik sedangkan beliau (Suresh) membenarkan rawatan dilakukan,” katanya.

Hishamuddin berkata, pihaknya bukan saja menghantar laporan salah laku Suresh dan empat pegawai perlawanan sebaliknya turut membabitkan keputusan kontroversi.

Katanya, keputusan kontroversi itu termasuk membatalkan dua jaringan pemain Perak serta melayangkan dua kad merah kepada pemain Perak, Gilmar da Silva dan Tuck.

“Kami juga ingin menegaskan PBSNT tidak mengemukakan sebarang cadangan bentuk tindakan yang perlu diambil FAM ke atas salah laku Suresh dan empat pegawai perlawanan.”

INFO

Antara laporan bantahan salah laku pengadil dikemukakan PBSNT:

* Meneruskan perlawanan ketika pemain menerima rawatan di tengah padang

* Membatalkan dua jaringan Perak

* Melayangkan dua kad merah kepada Gilmar dan Tuck

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 6:36pm
d