arena

'Saya sokong TMJ'

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong idea Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menubuhkan Badan Pengadil Bebas susulan kontroversi final Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak, Sabtu lalu.

“Saya menyokong idea yang dibangkitkan oleh Tunku Ismail. Ia membabitkan perlawanan berprofil tinggi dan jika ia memerlukan khidmat pengadil luar maka kita akan menggunakannya.

“Kita tak perlu sombong (mengenai isu itu) dan perlu merendah diri. Saya bersetuju dengan Tunku Ismail kerana beliau mempunyai kepakaran dalam bola sepak,” katanya ketika hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Media Prima Digital dan Kitamen di Bangsar South, semalam.

Aksi final antara Terengganu dan Perak di Stadium Shah Alam jelas mencuri tumpuan sejak Sabtu lalu susulan beberapa keputusan kontroversi pengadil, Suresh Jayaraman yang dikritik bukan sahaja pemain dan pengurusan kedua-dua pasukan tetapi juga orang ramai.

Malah Tunku Ismail pada malam perlawanan itu turut membidas Suresh dengan menyifatkan mutu pengadilannya teruk.

“Pengadil final Piala Malaysia hari ini teruk. Saya tidak pernah melihat dia dan saya terkejut mengapa dia dipilih untuk final,” kata Tunku Ismail dalam Twitternya.

Sementara itu, Syed Saddiq mengakui menerima banyak pertanyaan berhubung tindakan melampau pemain import Perak, Leandro dos Santos dan Wander Luiz ketika meraikan jaringan sendiri pertahanan Terengganu FC, Igor Zonjic untuk mengheret aksi final itu ke penentuan penalti.

“Saya berada di sana ketika perlawanan akhir berlangsung di Stadium Shah Alam. Dalam setiap sukan apa saja boleh berlaku dan ia bukan tugas menteri tetapi persatuan untuk memastikan ia tidak berlaku sekali lagi di Malaysia. 

“Kita perlu menghormati antara satu sama lain untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang lagi.”

Aksi final itu berkesudahan Perak muncul juara Piala Malaysia buat kali kelapan selepas menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas terikat 3-3 dengan Terengganu selepas tamat masa tambahan.

 

 

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 4:22pm
d