arena

Rossi tekad 'potong' semua

Oleh Fadhli Ishak dan Sukhairi Thani

SEPANG: Legenda hebat MotoGP, Valentino Rossi berharap dapat bangkit daripada perlumbaan mengecewakan di Phillip Island minggu lalu untuk terus mencerahkan peluangnya menamatkan kejuaraan di tangga kedua di Grand Prix (GP) Malaysia yang membuka tirainya, esok.

Pelumba Itali itu tidak meletakkan Sirkit Sepang sebagai trek kegemarannya tetapi dia menikmati beberapa kejayaan di Malaysia, memenangi enam kali perlumbaan pada 2001, 2003, 2004, 2006, 2008 dan 2010.

Dan dia juga harus berada pada tahap terbaiknya bagi menyaingi seterunya dari Ducati, Andrea Dovizioso, yang ketika ini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 210 mata.

Rossi yang menamatkan perlumbaan di tangga keenam di Australia, ketika ini ketinggalan 15 mata di tangga ketiga. 

Pelumba Sepanyol, Marc Marquez (Repsol Honda) sudah pun menjamin kejuaraan dalam kelas MotoGP di Motegi.

"Malangnya di Australia, saya tercicir mata penting untuk kejuaraan dan saya sangat kecewa mengenainya. Namun, saya gembira dengan kemenangan Maverick (Vinales) dan buat Yamaha," kata Rossi.

"Sekarang, kami perlu memburu tumpuan kepada perlumbaan ketiga (berturut-turut) dan ia adalah penting untuk meraih minggu yang bagus.

"Kami harus terus berusaha keras kerana kami perlu kompetitif dalam setiap perlumbaan. Sepang bukanlah trek kegemaran tetapi kami akan sentiasa cuba yang terbaik untuk mendapatkan keputusan terbaik."

Perlumbaan di Motegi (21 Oktober), Phillip Island (28 Oktober) dan Sepang (4 November) berlangsung selang seminggu dan tiada rehat.

Rakan sepasukannya di Movistar Yamaha, Vinales menamatkan kemarau 24 perlumbaan tanpa kemenangan buat pengeluar dari Jepun itu di Phillip Island.

Rossi yang secara jelas menyatakan betapa Yamaha perlu mempamerkan peningkatan, menamatkan saingan di podium sebanyak lima kali musim ini. Kali terakhir kejuaraan yang diraihnya adalah di Assen, tahun lalu.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 5:29pm
d