arena

Bos Gaurus di hati Mehmet

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Hasrat Selangor mendapatkan semula khidmat jurulatih Mehmet Durakovic musim depan tidak kesampaian apabila beliau dikatakan membuat ‘pusingan U’ untuk kekal bersama Perak.

Menurut sumber rapat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Durakovic membuat keputusan demikian selepas tidak berminat dengan tawaran kontrak yang diberikan.

“Mehmet (Durakovic) tak jadi ke Selangor, beliau tak berminat dengan kontrak yang ditawarkan. Sebelum ini beliau hanya menandatangani MOU (memorandum persefahaman) dengan FAS, bukan kontrak,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Sebelum ini timbul persoalan mengenai kedudukan Durakovic, 53, yang dilaporkan akan kembali ke pangkuan Selangor selepas meninggalkan skuad Red Giants sesudah meraih kejuaraan Piala Malaysia pada 2015.

Bekas pemain import Selangor itu kemudian membimbing Perak pada Februari 2017 dan berjaya menghadiahkan gelaran Piala Malaysia dengan skuad The Bos Gaurus apabila menewaskan Terengganu FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas aksi sebenar terikat 3-3 pada final di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Beberapa hari selepas kejuaraan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengesahkan Durakovic akan ditawarkan kontrak baru bagi membimbing Perak musim depan.

Susulan kegagalan memikat jurulatih dari Australia itu, pengurusan FAS kini dikatakan sedang berunding dengan jurulatih FELCRA FC dari Brazil, Tarcisio Pugliese untuk membimbing skuad Red Giants.

“Oleh kerana Mehmet menolak tawaran itu, Selangor kini sedang berbincang dengan jurulatih FELCRA dan mereka juga ada beberapa pilihan jurulatih lain,” menurut sumber itu.

Sepanjang kempen Liga Perdana musim ini, pencapaian Pugliese agak baik apabila anak buahnya berjaya menduduki tempat kedua sekali gus melonjak ke Liga Super musim depan.

Bagaimanapun FELCRA FC baru-baru ini dibubarkan berikutan masalah kewangan.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 7:57pm
d