arena

Marquez mahu terus cabar Ducati

Oleh Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

SEPANG: Juara dunia, Marc Marquez percaya pasukannya masih mampu mencabar keupayaan Ducati pada perlumbaan Grand Prix Malaysia bermula esok.

Pelumba Repsol Honda itu mengakui Ducati mempunyai kekuatan di Sepang sejak beberapa musim lalu tetapi menyentuh hakikat dia mampu melakar keputusan yang bagus meskipun di litar yang kurang sesuai dengan jentera Honda.

Marquez memastikan gelaran kelima dalam kelas perdana MotoGP selepas memenangi perlumbaan di Motegi tetapi terkeluar daripada perlumbaan selepas bertembung dengan Johann Zarco di Phillip Island, minggu lalu.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik di Phillip Island (sebelum terjatuh) dan akan cuba mengekalkan prestasi kami di Malaysia,” kata Marquez.

“Kami mengharungi ujian pramusim yang baik di sini (Sepang) dari sudut kelajuan tapi ia menggunakan jentera lain, kondisi dan pelarasan jadi kami perlu melupakannya dan memberi tumpuan terhadap hujung minggu ini.

“Kebiasaannya, Ducati berada di tahap terbaik (prestasi) di Malaysia tapi anda tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Ia (Sepang) bukan salah satu litar terbaik (untuk Honda), sama juga Motegi. Pada akhirnya, kami masih mampu memberi saingan untuk merebut kemenangan di Motegi.”

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 10:37pm
d