arena

Nasib Iskandar dalam bahaya

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Kerjaya perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin kini boleh dikatakan dalam bahaya selepas tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Macau, hari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu terpaksa akur apabila tumbang di tangan Lu Guangzhu dari China 18-21, 13-21 dalam tempoh 47 minit.

Terbuka Macau kali ini dikatakan peluang terakhir buat Iskandar bagi membuktikan kemampuan sebenarnya sekali gus untuk memastikan tempat dalam skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, kekalahan pada pusingan kedua hari ini pastinya membuatkan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek perlu menilai semula prestasi pemain ranking ke-75 dunia itu yang digugurkan untuk saingan Terbuka Taiwan bulan lalu selepas gagal melayakkan diri ke undian utama Terbuka Korea sebelum itu.

Sementara itu, perseorangan wanita negara, Soniia Cheah mara ke suku akhir selepas menewaskan Sim Yu Jin dari Korea Selatan 21-16, 21-19. Dia akan menentang pilihan ketiga dari Hong Kong, Cheung Ngan Yi untuk perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Turut mara ke kelompok lapan terbaik beregu lelaki profesional, Arif Latif-Nur Azriyn Ayub yang menang 21-19, 21-13 ke atas pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hwan-Park Kyung Hoon dan akan menentang Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol juga dari Korea, esok.

Terdahulu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menyingkirkan Tanupat Viriyangkura-Kwanchanok Sudjaipraparat dari Thailand 22-20, 21-17. Mereka akan bertemu Ronald Ronald-Annisa Saufika dari Indonesia bagi merebut tempat ke separuh akhir, esok.

“Ia perlawanan sukar buat kami hari ini. Kami hilang fokus di set kedua selepas mendahului agak jauh tapi mujur kami kembali fokus dan memenangi perlawanan.

“Kami tidak pernah bertemu dengan pasangan Indonesia itu (lawan di suku akhir) tapi yang pasti mereka lebih berpengalaman dan ranking dunia lebih tinggi berbanding kami. Kami harap boleh buat yang terbaik dan tidak mahu meletakkan tekanan,” kata Pang Ron yang mula bergandingan dengan Yee See sejak Mac lalu.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 10:39pm
d