arena

Impian Bolt berkecai

Oleh AFP

SYDNEY: Impian raja pecut, Usain Bolt untuk menjadi pemain bola sepak profesional bersama kelab Australia, Central Coast Mariners tidak kesampaian apabila tempoh ujian pemilihannya dihentikan selepas perbincangan kontrak gagal.

Juara Olimpik sebanyak lapan kali itu melakukan ujian pemilihan bersama pasukan A-League untuk tempoh yang belum dipastikan sejak Ogos lalu, dengan harapan ia mampu memenuhi impian zaman kanak-kanaknya menjadi pemain bola sepak profesional.

Bintang olahraga berusia 32 tahun itu berjaya mendapat tumpuan dunia, selepas dia berjaya menjaringkan dua gol ketika aksi persahabatan pramusim bersama Mariners.

Bagaimanapun, kemampuannya dipersoalkan dan kelab berkenaan dilaporkan hanya menawarkan sebahagian kecil daripada gaji yang diminta AS$2.1 juta (RM8.77 juta), manakala pihak pengurusannya terpaksa mencari penaja dari luar.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kelab dan wakil Bolt, Ricky Simms, mengadakan perbincangan dengan rakan kongsi dalam untuk mencari jalan penyelesaian secara komersial yang memberi kebaikan kepada semua pihak.

“Walaupun mempunyai beberapa rakan kongsi yang berpotensi, kedua-dua, Bolt dan Central Coast Mariners membuat kesimpulan bahawa mereka tidak mendapat kata persetujuan secara sepakat yang sesuai pada masa sekarang,” kata Mariners melalui satu kenyataan.

Pemegang rekod dunia 100 meter, yang bersara daripada balapan tahun lalu dan pernah membuat pemilihan di Jerman, Afrika Selatan dan Norway, mengucapkan terima kasih kepada Mariners dengan peluang yang diberikan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pemilik Central Coast Mariners, staf, pemain dan penyokong kerana menerima kehadiran saya.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan ini,” kata bekas pelari kelahiran Jamaica itu, yang sekarang ini dilaporkan berada di Melbourne dan bakal berangkat ke Eropah.

Bolt baru-baru ini menolak kontrak tanpa pemilihan bersama juara liga Malta, Valletta untuk memberi fokus kepada pasukan lebih terkemuka di Australia.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 12:29pm
d