arena

Kritikan lonjak nadi Spurs

Oleh Reuters

LONDON: Pertahanan Tottenham Hotspur, Toby Alderweireld percaya kritikan terhadap kelab itu mendorong mereka mengharungi permulaan terbaik dalam kempen Liga Perdana Inggeris semusim.

Malah, pemain kebangsaan Belgium itu berkata ia adalah petunjuk jelas sejauh mana kemajuan sudah dicapai oleh Spurs.

Tottenham mengumpul 21 mata daripada 10 perlawanan dan menghuni tangga kelima liga sekalipun tidak memberi pemain baharu pada jendela perpindahan.

Selain itu, mereka turut dipalit kekecewaan disebabkan penangguhan stadium baharu yang berkapasiti 62,000 tempat duduk di White Hart Lane.

“Ia nampak lebih positif jika mereka tidak melihatnya sebagai permulaan yang baik. Itulah tahap yang kami sudah capai. Kami tidak pernah berpuas hati, sentiasa cuba untuk bertambah baik,” kata Alderweireld kepada Sky Sports.

Tottenham akan terus bermain di Stadium Wembley sehingga tahun baharu bagi menunggu kerja-kerja memperbaiki sistem keselamatan yang penting di gelanggang baharu kelab itu selesai.

Begitupun, Alderweireld mengakui pasukan itu sedikit terkesan dengan penangguhan berkenaan.

“Kami tidak pernah menggunakan Wembley sebagai alasan dan kami tidak akan menggunakannya sekarang. Tetapi ia mengganggu kami.

“Saya gembira bermain di Wembley, ia adalah lokasi yang bersejarah tetapi perasaannya tidak sama seperti White Hart Lane.”

Tottenham akan menanti kunjungan Wolverhampton Wanderers dalam aksi liga, esok.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 4:42pm
d