arena

Usah perlekeh Maldives!

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Status Maldives sebagai juara Piala Persekutuan Bolasepak Asia Selatan (SAFF) 2018 wajar diberi perhatian oleh skuad kebangsaan apabila mereka bakal berentap pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Justeru, dengan aksi bertemu pasukan ke-151 dunia itu menjadi ujian terakhir buat pemain negara, jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menuntut anak buahnya supaya memperagakan aksi lebih kemas sebelum mengharungi Piala AFF Suzuki 2018 bermula Khamis ini.

“Maldives akan memberikan ujian sebenar kepada kita kerana kebelakangan ini, pasukan mereka berada pada tahap yang baik terutamanya selepas baru sahaja memenangi Piala SAFF 2018.

“Tetapi bagi saya apa yang penting adalah pasukan dapat menunjukkan corak permainan seperti yang dirancang. Saya mahu lihat ada peningkatan pada aksi malam esok.

“Jadi, mereka perlu menunjukkan aksi yang lebih kemas berbanding perlawanan sebelum ini. Aksi ini adalah mustahak kerana ia adalah persiapan terakhir kita,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas lanjut perancangan pasukan untuk aksi malam esok, Cheng Hoe menjelaskan ‘eksperimen’ masih lagi akan dijalankan susulan kemasukan beberapa pemain baharu ke dalam skuad, awal minggu lalu.

“Beberapa pemain baharu akan diuji dan kami masih cuba mencari kombinasi yang terbaik untuk menghadapi aksi Piala AFF.

“Ini juga untuk memastikan mereka dapat segera menyesuaikan diri dengan pasukan namun dua pemain iaitu Akhyar Rashid dan Kenny Pallraj tidak dapat diturunkan kerana masalah kecergasan,” katanya.

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan membuka tirai Piala AFF bertemu Kemboja pada Khamis ini sebelum menentang Laos (12 November) serta Vietnam (16 November) dengan aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Myanmar pada 24 November.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 6:21pm
d