arena

Atlet teruja peruntukan RM100 juta

Oleh Azlan Muhammad Zain dan Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Barisan atlet negara teruja apabila mendapat perkhabaran peruntukan RM100 juta yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2019 sebentar tadi.

Ia antara lain adalah persediaan membawa pulang pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jaguh terjun negara, Pandelela Rinong melihatnya sebagai permulaan yang bagus bagi menghadapi temasya sukan utama dunia itu.

Pemenang perak Olimpik Rio 2016 itu bagaimanapun mengakui sukar untuk mengulas lanjut kerana peruntukan itu diuruskan pihak yang bertanggungjawab.

"Sebagai atlet, saya perlu melihat dan merasai dulu perbezaan (program) berbanding tahun ini. Selepas itu baru boleh saya mengulas lanjut mengenainya," katanya.

Ditanya sama ada mengharapkan lebih banyak kejohanan dalam persediaan menghadapi Olimpik Tokyo, dia menjelaskan ia perlu ditanya kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam membuat perancangan.

Sementara itu, atlet pelayaran negara Khairulnizam Mohd Afendy menaruh harapan perbelanjaan akan digunakan lebih efisien dengan memberi fokus kepada persiapan atlet menuju ke Tokyo.

"Sudah pasti kami sebagai atlet mahukan lebih banyak kejohanan dan pertandingan pendedahan sebelum beraksi di Olimpik. 

"Perancangan perlu dilaksanakan dengan rapi tanpa tertangguh terlalu lama. Contohnya, selepas Sukan Asia pada Ogos, tiada hala tuju kami sebagai atlet dengan program baru dikhabarkan bermula pada Januari tahun depan.

"Jadi saya berharap perancangan perlu dimulakan mulai sekarang dan tidak menunggu pada Januari nanti bagi memulakannya. Jangan sampai perancangan, perbincangan dan sebagainya bermula Januari tahun depan yang secara tidak langsung akan melambatkan program sebenar kepada atlet untuk dilaksanakan," tambahnya.

Khairulnizam adalah atlet pertama negara menempah tiket ke Olimpik 2020 dalam acara laser standard selepas memenangi perak di Sukan Asia 2018.

 

Lagi berita berkaitan belanjawan 2019

 

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 7:17pm
d