arena

Ayuh 'banggakan Vichai'

Oleh AFP

LONDON: Jamie Vardy meminta rakan sepasukan di Leicester memberi penghormatan terhadap memori Vichai Srivaddhanaprabha ketika mereka sedia kembali beraksi selepas kematian mengejut pemilik mereka dalam nahas helikopter.

Vichai dan empat yang lain terbunuh apabila helikopter yang mereka naiki terhempas di luar Stadium King Power selepas perlawanan menentang West Ham hujung minggu lalu.

Pertembungan Leicester pada pertengahan minggu bagi Piala Liga Inggeris menentang Southampton ditunda tetapi saingan Liga Perdana di tempat lawan bertemu Cardiff esok akan diteruskan.

Vardy dan rakan sepasukan Leicester mengeluarkan kenyataan dalam talian dengan memberi penghormatan terhadap lelaki yang mereka panggil ‘The Boss’ dan bekas pemain England itu membuka mulut bagaimana dia mengetahui mengenai kemalangan itu.

“Saya dalam perjalanan pulang dengan isteri dan anak-anak dan saya menerima berita itu,” katanya kepada Sky Sports. “Jelas ia sangat mengejutkan saya dan anda tidak boleh percaya ia berlaku.

“Anda perlu menghubungi seseorang tapi tiada siapa mengangkat telefon dan ketika itu saya sedar sesuatu yang buruk berlaku.”

Vardy dengan jaringannya membantu Leicester meraih gelaran Liga Perdana pada 2016, meminta rakan sepasukan menampilkan persembahan terbaik bagi memberi penghormatan kepada Vichai.

“Anda bercakap mengenai mahu bermain, itulah yang Vichai mahukan dan itulah yang kami mahu lakukan,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 8:52pm
d