arena

Hatrik Mertens buat Napoli tersenyum

Oleh AFP

MILAN: Dries Mertens meledak hatrik ketika membantu Napoli membelasah Empoli 5-1, dan kembali ke tangga kedua Serie A, Itali untuk memberi tekanan kepada juara bertahan Juventus.

Napoli yang dalam persiapan bertemu Paris Saint-Germain (PSG) untuk aksi Liga Juara-Juara minggu depan, kini mengumpul 25 mata daripada 11 perlawanan liga, tiga mata di belakang Juventus yang akan melayan kunjungan Cagliari hari ini.

Inter Milan pula ketinggalan tiga mata di belakang sebelum perlawanan menentang Genoa.

Dalam aksi pagi tadi, Lorenzo Insigne membuka jaringan buat tuan rumah selepas sembilan minit perlawanan di Stadium San Paolo dengan bintang Belgium, Mertens turut meledak di babak pertama.

Mertens menambah dua gol lagi selepas rehat pada minit ke-64 dan dalam masa kecederaan, dengan Arkadiusz Milik dari Poland turut menemui sasaran pada saat akhir.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu kembali menemui rentak kemenangan selepas keputusan seri berturut-turut ketika menentang PSG (2-2) dan AS Roma (1-1).

"Berdasarkan keputusan permainan, kami memang hebat, tetapi hakikatnya Empoli bermain lebih baik berbanding kami,” kata Ancelotti. “Kami bergelut sehingga kedudukan 4-1.

“Kami bermain baik bertemu Roma, tetapi seri, dan malam ini kami menang dengan jumlah besar. Malah saya marah dengan Mertens. Dia bermain di bahagian sayap dan saya jerit kepadanya jika dia mahu menjaringkan gol dia perlu masuk lebih ke tengah.

“Dia menjawab dengan mengatakan umpanan gol juga penting. Akhirnya dia meledak hatrik dan melakukan satu umpanan gol.”

Francesco Caputo, yang meledak gol pembukaan ketika menentang Juventus hujung minggu lalu, menjaringkan gol tunggal Empoli, tetapi gagal mencetus kebangkitan untuk memburu kemenangan kedua selepas menewaskan Cagliari pada perlawanan pertama musim ini.

Ancelotti merehatkan beberapa tonggak utamanya bagi persiapan menghadapi juara Perancis, pada Rabu ini.

Beliau membawa masuk pertahanan Perancis, Kevin Malcuit dan pemain tengah muda, Amadou Diawara serta Marko Rog, namun mengekalkan Insigne dan Mertens di barisan depan.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 8:11am
d