arena

5 import Kedah 'bye-bye'

Oleh Izzali Ismail

ALOR SETAR : Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan tidak memperbaharui kontrak lima pemain importnya yang beraksi pada musim ini, bagi mengharungi musim baharu 2019.

Lima pemain terbabit ialah Sandro Da Silva; Liridon Krasniqi; Alvaro Silva; Paolo Rangel serta Andik Vermansah.

Perkara itu dinyatakan melalui laman sosial Facebook KFA semalam, selepas pemain import berpengalaman kelahiran Brazil, Sandro mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan apabila memaklumkan khidmatnya tidak disambung.

KFA turut memberikan penghargaan di atas khidmat cemerlang Sandro yang membantu Kedah mengecapi kejayaan, sikap professional dan disenangi rakan, serta saat manis menyumbang gol 'cantik' sebagai kenangan buat penyokong.

Berdasarkan kenyataan itu, KFA berkata, Sandro akan terus diingati sebagai antara pemain legenda Hijau Kuning dengan kejayaan tersendiri selepas empat musim.

Sementara itu, melalui laman sosial Facebook peribadi Sandro, pemain ini meluahkan perasaan sedih kerana tidak diberi peluang untuk kekal bersama pasukan setahun lagi, selepas berbakti selama empat tahun.

"Kepada semua peminat yang telah menyokong saya selama ini, saya ingin memaklumkan pengakhiran tugas saya bersama Kedah pada musim ini.

"Saya dimaklumkan melalui emel oleh KFA, khidmat saya tidak disambung dan keputusan ini telah dibuat pengurusan, walaupun saya sudah mengumumkan mahu kekal bersama Kedah.

"Itulah bola sepak. Kita perlu bersikap profesional dan terus memandang ke depan. Saya tetap bangga dengan pencapaian dan kejayaan pasukan, demi penyokong yang sentiasa mahu menyaksikan perlawanan menarik.

Sandro juga tidak menyatakan perancangannya pada musim 2019, namun berterima kasih kepada semua pihak sepanjang berada di Kedah sejak musim 2015.

"Sepanjang berada di sini (Kedah), saya seperti berada di negara saya (Brazil). Kita menang bersama, kalah bersama. Kita ketawa bersama dan pernah menangis bersama. Inilah dunia bolasepak dan saya akan merindui kamu semua.

Sepanjang karier bersama Kedah sejak 2015, Sandro yang mula bergandingan bersama Liridon pada 2015 membawa Kedah merangkul Juara Liga Perdana musim 2015 dan Naib Juara Piala Malaysia 2015.

Dia juga memainkan watak penting membawa pulang trofi Piala Malaysia 2016, Juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2017, Juara Piala FA 2017 dan Naib Juara Piala Malaysia 2017.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 8:30am
d