arena

Chelsea tak terdesak

Oleh Agensi

LONDON: Maurizio Sarri mengakui Chelsea tidak terdesak untuk membuat pembelian baharu pada Januari dan menegaskan tugasnya adalah meningkatkan kualiti skuad sedia ada kelab berkenaan.

Sekali pun Chelsea menyertai kelompok teratas Liga Perdana dengan merekodkan 11 perlawanan tanpa kalah di bawah kendalian Sarri, pengendali dari Itali itu jelas tidak gembira dengan jentera pertahanannya.

Pengurus berusia 59 tahun itu percaya Blues mampu melebihi objektif minimum - menghuni tangga empat teratas liga – dan berkata kehadirannya adalah untuk menyelesaikan masalah dan bukannya berharap kepada jendela perpindahan.

“Kami bertahan dengan baik di Burnley dan tiga hari kemudian kami tidak dapat bertahan dengan cara yang sama,” kata Sarri. “Adalah berbahaya jika ia tidak mempunyai kesinambungan, kami perlu memperbaikinya.

“Saya perlu berfikir yang saya perlu membantu pemain-pemain ini untuk meningkat. Adalah mudah untuk membeli pemain bagi menyelesaikan masalah. 

“Saya fikir kami perlu meningkat bersama pemain-pemain ini kerana mereka boleh bertambah baik. Saya perlu berfikir bagaimana untuk meningkatkan kualiti pemain-pemain saya. Ia adalah kerja saya. Untuk pembelian pemain ia bergantung kepada kelab.

“Saya boleh berkata kepada kelab mengenai pandangan saya mengenai apa yang saya perlukan tetapi kerja saya adalah untuk meningkatkan kualiti pemain. 

“Saya tidak bertanya mengenai apa-apapun kepada kelab ketika ini kerana saya fikir kami boleh kekal dengan pemain-pemain ini dan menjadi kompetitif. Mungkin bukan teratas tetapi kami perlu cuba untuk merapatkan jurang.”

Chelsea menewaskan kelab Liga Kejuaraan Derby County kendalian bekas pemain kelab Stamford Bridge itu, Frank Lampard 3-2 dalam kempen Piala Liga pertengahan minggu lalu tetapi kedua-dua gol yang dilepaskan Blues berpunca jaringan sendiri.

“Jika kamu melihat di puncak liga, City hanya melepaskan empat gol dan Liverpool empat. Penting untuk kami menjadi kukuh untuk kompetitif,” kata Sarri dengan skuad kendaliannya sudah melepaskan tujuh gol.

Blues yang menghuni tangga ketiga liga dijadual bertemu Crystal Palace awal pagi esok.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 12:30pm
d