arena

Ronaldo makin padu bersama Juve

Oleh Agensi

ROM: Cristiano Ronaldo bakal melonjakkan Juventus sebagai pencabar utama untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini, kata legenda Portugal, Luis Figo.

Ronaldo mengharungi permulaan baik sejak menyertai Juventus dengan nilai £88 juta pound (RM475.53 juta) dari Real Madrid, musim ini apabila sudah meledak tujuh gol dan membuat empat umpanan menerusi 10 aksi Serie A musim ini.

Ketajamannya membantu Juventus menghampiri rekod permulaan sempurna dalam kempen domestik selepas kelab itu mencatat sembilan kemenangan dan sekali seri.

Dominasi Juventus di Itali sudahpun wujud sebelum ketibaan Ronaldo tetapi bintang Portugal itu membawa kelab gergasi itu menghampiri gelaran Eropah selepas tewas dua kali di pentas final dalam tempoh lima tahun.

Sekalipun kapten Portugal itu belum meledak di pentas Eropah setakat ini, Figo tetap merasakan dia ‘pemain terbaik dunia’ dan berpendapat Juventus kini pencabar utama.

“Juventus mempunyai lebih pilihan sekarang,” kata Figo. “Cristiano memastikan kualiti dan gol kerana dia adalah pemenang, terbaik di dunia. 

“Juventus mempunyai peluang yang lebih untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini.”

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 2:11pm
d