arena

FAM perlu sokongan jayakan F:30

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Kevin Ramalingam berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama penuh kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memastikan Peta Hala Tuju atau 'Road Map' yang diberi nama F:30, dapat direalisasikan.

Beliau mengakui bukan mudah untuk melaksanakan pelan dalam tempoh 12 tahun itu jika ada pihak yang menongkah arus.

"Pihak MFL berbangga dengan langkah berani FAM menyediakan satu Road Map yang cukup lengkap untuk memberi fokus kepada aspek penting yang kurang diberikan penekanan sebelum ini. Road Map ini juga penting untuk mengukur kejayaan dan kegagalan dari segi pengurusan.

"Bagaimanapun ia cabaran besar buat FAM kerana kami faham situasi dihadapi kerana MFL sendiri ada 'blueprint' untuk 50 tahun menerusi kerjasama dengan pihak La Liga. Masalah kita, tidak semua pihak mahu bergerak ke arah sama, ada juga yang mahu menongkah arus," katanya kepada Sukan NSTP.

Rabu lalu, FAM melancarkan Road Map F:30 dengan perencanaan menjadi lima negara terbaik Asia menjelang 2030.

Hala tuju dengan tempoh 12 tahun itu dibahagi kepada tiga pelan strategik, iaitu fasa pertama dari 2019 hingga 2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.

Fasa kedua (2023-2026) pula mencapai kejayaan di peringkat Asia sebelum disudahi fasa ketiga (2027-2030) bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.

Menurut Kevin, perancangan dibentangkan FAM itu perlu mendapat sokongan khususnya ahli gabungan yang perlu memainkan peranan penting bagi memastikan misi tercapai.

"Kalau di negara lain seperti Jepun atau Jerman lebih senang melaksanakan pelan kerana suka atau tidak, mereka akan ikut. Jadi kita berharap agar FAM juga akan mendapat sokongan semua pihak untuk sama-sama menjayakannya.

"Saya percaya dengan kepimpinan FAM sedia ada dan kerjasama semua pemegang taruh, ia bukan sesuatu yang mustahil," katanya.

 

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 6:43pm
d