arena

Bolt tak putus asa

Oleh AFP

MELBOURNE: Legenda pecut dunia Usain Bolt yakin dia boleh menjadi pemain bola sepak profesional sekalipun ujian pemilihannya bersama kelab Australia berakhir, menegaskan hari ini: “Saya masih boleh melakukannya.”

Tempoh ujian pemenang lapan pingat emas Olimpik itu bersama kelab Liga A, Central Coast Mariners berakhir semalam selepas rundingan kontrak gagal.

Kelab itu dilaporkan menawarkannya sebahagian daripada AUS$3 juta (RM8.9 juta) yang diminta pengurusnya dan penaja luar diperlukan untuk memuktamadkan perjanjian itu tidak berjaya diperoleh.

“Menyedihkan ia tidak menjadi kenyataan,” kata pemegang rekod dunia 100m dan 200m itu kepada akhbar Herald Sun pada perlumbaan kuda di sini. “Tapi kami berpisah dengan cara baik dan ia perkara yang bagus.

“Saya meraih pengalaman hebat bersama mereka. Mereka amat hebat, kami hanya gagal memuktamadkan kontrak tapi harapnya saya mendapat peluang dengan pasukan lain.”

Bolt, yang bersara daripada olahraga tahun lalu, sudah lama mengidam untuk menjadi pemain bola sepak dan berlatih dengan Mariners sejak Ogos lalu, mencetus minat global apabila dia menjaringkan dua gol pada aksi persahabatan pramusim.

Namun keupayaan peminat tegar Manchester United itu dipersoalkan pengulas serta sesetengah pemain dan dia kini sudah menjalani ujian pemilihan dengan kelab di Jerman, Afrika Selatan, Norway dan Australia namun tidak berjaya.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 9:17pm
d