arena

Perak kekal juara Piala Razak

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Perak mempertahankan kejuaraan divisyen satu kejohanan hoki Piala Razak apabila menewaskan Terengganu menerusi penentuan penalti 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa sebenar dalam aksi final hari ini.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu Terengganu terlebih dulu di depan pada minit ke-14 selepas Ameer Aiman Saberi menyempurnakan jaringan padang.

Namun gol itu tidak bertahan lama apabila Perak menyamakan kedudukan pada minit sama menerusi pukulan sudut penalti Shazrul Imran Nazli.

Terengganu kembali di depan pada minit ke-22 selepas Syamiru Aiman Bidin bijak mencuri ruang dalam kawasan D.

Bersambung separuh masa kedua, Perak menggandakan serangan untuk memperoleh gol penyamaan, namun beberapa peluang terbaik dalam kawasan D gagal disempurnakan dengan baik.

Usaha berterusan Perak akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan selepas Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan gol padang pada minit ke-47 sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Sementara itu, Pahang mempamer aksi cemerlang apabila menjuarai divisyen dua selepas mengalahkan PDRM 2-1 sekali gus kembali ke divisyen satu musim depan.

Hafiz Zainul memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol padang pada minit ke-40 buat Pahang sebelum Nazrey Din menambah gol kedua pada minit ke-51, juga menerusi gol padang.

Meskipun ketinggalan 0-2, PDRM memberi tekanan di hujung perlawanan dan mereka merapatkan jurang menerusi gol padang Haizzat Noor Azmi pada minit ke-53.

Bagi saingan wanita, Selangor gagal mempertahankan kejuaraan apabila tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur.

DIVISYEN SATU

Final: Perak 2 Terengganu 2 (Perak menang penentuan penalti 3-1)

Tempat ke-3/4: Kuala Lumpur 2 Melaka 1

DIVISYEN DUA

Final: PDRM 1 Pahang 2

Tempat ke-3/4: ATM mln Selangor (kemenangan bersama susulan hujan lebat)

WANITA

Final: Selangor 1 Kuala Lumpur 2

Tempat ke-3/4: ATM mln Pulau Pinang (kemenangan bersama susulan hujan lebat)

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 10:37pm
d