arena

Bayern terikat, Dortmund ambil kesempatan

Oleh AFP

BERLIN: Bayern Munich dihampakan jaringan penyamaan saat akhir ketika seri 1-1 menentang Freiburg di tempat sendiri sekali gus ketinggalan empat mata di belakang Borussia Dortmund menjelang pertarungan Bundesliga mereka minggu depan.

Selepas bergelut menewaskan kelab kerdil Roedinghausen 2-1 pada Piala Jerman, Selasa lalu, Bayern sekali lagi berhempas pulas di Allianz Arena seminggu sebelum mereka berkunjung ke kubu pendahulu, Dortmund dalam pertarungan dua pasukan teratas.

“Kami gagal mempamerkan prestasi terbaik sejak akhir-akhir ini dan apabila ini berlaku, semuanya tidak menjadi seperti kebiasaannya,” akur kapten Bayern, Manuel Neuer.

Ini kali pertama Freiburg membawa pulang mata dari Munich sejak 1997.

Bayern yang dipenuhi barisan bintang akhirnya memperolehi jaringan pada minit k-80 apabila Serge Gnabry ‘membelah’ pertahanan lawan dan melepaskan rembatan ke penjuru kanan gawang lawan.

Bagaimanapun, Freiburg tidak mudah berputus asa apabila Lucas Hoeler memperdayakan dua pertahanan tuan rumah, Niklas Suele dan Jerome Boateng untuk gol penyamaan pada minit ke-89 menyebabkan ketua jurulatih Munich, Niko Kovac hanya mampu menggelengkan kepala.

“Kami sepatutnya dapat ‘membunuh’ lawan lebih awal jika ‘Lewy’ (Robert Lewandowski) menggunakan peluangnya dengan baik,” kata Kovac seleps penyerang Poland itu terlepas beberapa peluang terbaik.

Situasi menjadi lebih sukar buat Kovac jika Borussia Moenchengladbach berjaya menewaskan pasukan bawahan, Fortuna Duesseldorf di tempat sendiri hari ini dan mengambil alih tangga kedua daripada Bayern.

Dortmund pula gah di puncak apabila menjarakkan diri mereka dengan Bayern kepada empat mata selepas menang 1-0 di Wolfsburg hasil jaringan kapten, Marco Reus pada separuh masa pertama.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 8:57am
d