arena

Tunggu keputusan FAS

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Pemain tengah, Joseph Kalang Tie mengesahkan belum menerima kata putus daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berhubung status dalam skuad Selangor bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan. 

Pemain kelahiran Miri, Sarawak yang menyarung jersi skuad Red Giants musim ini masih menanti keputusan daripada persatuan berkenaan. 

"Setakat ini, belum ada kata putus daripada FAS berhubung kedudukan saya dalam skuad Selangor sama ada masih kekal atau tidak pada musim hadapan. 

"Namun, sebagai pemain profesional, saya perlu bersedia menerima segala keputusan dan akan memastikan saya terus beraksi dalam Liga Malaysia musim 2019," katanya. 

Musim ini, pemain berumur 31 tahun itu beralih ke Selangor selepas hanya semusim bersama Pahang pada 2017. 

Namun, saingan sengit daripada rakan sepasukan membataskan peluang Joseph untuk berada dalam kesebelasan utama Red Giants. 

Justeru, Joseph akan memastikan musim 2019 akan meletakkannya pada prestasi lebih baik dan menjadi nadi utama pasukan. 

"Saya masih mampu memberi yang terbaik kepada pasukan dan bersedia untuk bersaing bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama," katanya.tamat

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 12:46pm
d