arena

Bermula di petak ketujuh jadi motivasi Marquez

Oleh Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

SEPANG: Juara dunia, Marc Marquez membuktikan dirinya sebagai pelumba terbaik ketika ini selepas mengungguli perlumbaan kelas perdana MotoGP di Grand Prix (GP) Shell Malaysia, hari ini.

Pelumba Repsol Honda itu meraih grid utama semalam, namun terpaksa bermula dari petak ketujuh di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) selepas dikenakan enam penalti grid kerana insiden bersama pelumba Itali, Andrea Iannone pada sesi kelayakan.

Namun, penalti itu hanya menambahkan semangatnya untuk memburu kemenangan dan berada dalam kelompok tiga terbaik biarpun perlumbaan baharu memasuki dua pusingan yang berlangsung atas permukaan trek kering.

Dia berjaya memintas pelumba Perancis dari pasukan Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco selepas lima pusingan dan hanya perlu memberi tumpuan untuk mengatasi pelumba hebat dari Itali, Valentino Rossi yang berada di depannya.

Pelumba Yamaha, Rossi bagaimanapun berjaya mempertahankan statusnya selaku pendahulu buat seketika –sesuatu yang menggembirakan peminat Malaysia – namun malang menimpa apabila dia terjatuh pada pusingan ke-16.

Insiden itu memudahkan perjuangan Marquez dan dia melepasi garisan penamat dengan catatan 40 minit 32.372 saat manakala rakan senegaranya, Alex Rins daripada pasukan Suzuki Ecstar kedua (+1.898s) manakala Zarco (+2.474s) melengkapkan pentas podium.

Dua pelumba Sepanyol Maverick Vinales (Movistar Yamaha) dan Dani Pedrosa (Repsol Honda) menduduki tempat keempat (+4.667s) dan kelima (+6.190s).

Penunggang Itali Andrea Dovizioso (Ducati) yang muncul juara dalam keadaan basah di Sepang bagi musim 2016-2017, menduduki tempat keenam.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Marquez di Sepang selepas musim 2014 dan dia berkata: “Ia perlumbaan begitu sengit, bermula dari petak ketujuh memberikan motivasi kepada saya.

“Saya tidak pernah menang dengan bermula dari barisan ketiga sebelum ini. Pada pusingan pertama, semuanya bagus tapi ia bukan yang terbaik dalam karier saya.

“Saya memintas beberapa pelumba dan melihat Valentino memecut laju dari awal lagi. Saya juga begitu, menunggang seperti ia adalah sesi latihan ataupun kelayakan tapi tayar saya kurang mencengkam selepas memintas Johann.

“Saya mula bergelut dan hilang kedudukan tapi mampu mengelak (daripada terjatuh) dengan menggunakan siku.

“Saya memberitahu diri sendiri supaya tenang dan cuba bertindak bijak dengan penggunaan tayar. Kemudian saya lihat yang saya mula dapat mengekori Valentino dan ia menjadi motivasi saya.

“Keupayaannya terhad dan kemudian dia mula melakukan kesilapan apabila terbabas, mungkin dia tak mahu kehilangan masa dan kemudian dia terjatuh.

“Saya memberitahu diri sendiri supaya terus tenang, tamatkan perlumbaan dan nikmati baki perlumbaan.”

Pusingan penutup tirai musim 2018 dijadual berlangsung di Sirkit Ricardo Tormo, Valencia pada 18 November ini.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 6:13pm
d