arena

Nasihat Rashid buat Iskandar

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin disaran meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menyelamatkan kariernya yang semakin tenggelam.

Legenda badminton negara, Rashid Sidek percaya jika Iskandar memutuskan untuk bergerak secara profesional, ia mampu memberi nafas baharu dalam kerjayanya.

“Apa yang dilalui Iskandar ketika ini sama seperti Liew Daren. Namun, apabila bergerak secara profesional, Daren tanpa disangka menang pingat gangsa Kejohanan Dunia (Julai lalu).

“Saya fikir Iskandar perlu buat keputusan sekarang kerana peluang masih ada. Sebelum BAM buang, lebih baik dia pergi dulu.

“Dia tidak berjaya kerana gagal menyerap tekanan susulan harapan diletakkan pelbagai pihak ke atasnya,” kata Rashid yang juga bekas ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan.

Semalam, Meja Sukan NSTP melaporkan naib juara Masters Malaysia 2016 itu mengakui sedang memikirkan untuk meninggalkan BAM selepas terus gagal mencapai prestasi terbaiknya susulan tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Macau, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Rashid mengingatkan pemain berusia 27 tahun itu betapa membawa status sebagai pemain profesional bukan sesuatu yang mudah dan dia tidak akan berjaya tanpa disiplin tinggi.

“Dalam BAM, semuanya sudah disediakan, pemain hanya perlu tunjuk prestasi terbaik. Namun, menjadi pemain profesional, semuanya diuruskan pemain termasuk mencari penaja dan ini memerlukan tahap disiplin tinggi.

“Jika nak belajar mengenai kehidupan, ini proses terbaik. Namun, untuk berjaya pemain itu perlu ada usaha untuk berubah, bermain tanpa tekanan akan menjadi lebih mudah tapi jika tidak ada disiplin, tiada gunanya,” kata Rashid.

Kegagalan di Macau turut menyaksikan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek menarik penyertaan Iskandar bagi Terbuka Hong Kong, minggu depan.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 7:48pm
d