arena

Immobile lonjak Lazio

Oleh AFP

MILAN: Ciro Immobile meledak dua gol awal ketika Lazio membenam SPAL 4-1 untuk melonjak ke tangga keempat Serie A Itali dan berada dalam zon ke Liga Juara-Juara, sebentar tadi.

Anak buah Simone Inzaghi bangkit daripada kekalahan di laman sendiri kepada Inter Milan untuk merampas kedudukan dihuni AC Milan, yang bertemu Udinese awal pagi ini.

Immobile menyumbat gol selepas 26 dan 35 minit untuk mengumpul lapan gol musim ini dengan Danilo Cataldi (m-59) dan Marco Parolo (m-70) menambah dua gol pada babak kedua.

Lazio dengan 21 mata selepas 11 perlawanan ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Juventus, yang meneruskan catatan tanpa kalah mereka apabila menang 3-1 ke atas Cagliari semalam.

Immobile, pemain kebangsaan Itali merembat masuk voli selepas 26 minit susulan sepakan sudut Cataldi, melepasi jangkauan penjaga gol SPAL, Vanja Milinkovic-Savic, adik pemain tengah Lazio, Sergej yang turut beraksi di Stadio Olimpico.

Namun kedudukan itu tidak berpanjangan apabila Mirco Antenucci menampan masuk gol penyamaan buat SPAL dua minit kemudian.

Vanja Milinkovic-Savic menafikan Immobile dari jarak dekat dan Sergej Milinkovic-Savic merembat tinggi melepasi palang sebelum gol kedua Immobile.

Felipe Caicedo melepasi benteng pertahanan SPAL dan mencipta peluang buat Immobile, percubaannya terbias sedikit Filippo Costa sebelum menerjah jaring.

SPAL, kelab dari Ferrara di wilayah Emilia-Romagna, kekal di tangga ke-15 selepas kekalahan ketujuh mereka musim ini.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 11:15pm
d