arena

Chantha Bin angkat kaki?

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Kelibat pemain import Terengganu FC (TFC), Thierry Chantha Bin mungkin yang terakhir bersama skuad Penyu musim ini apabila pemain tengah itu dilamar kelab dari Thailand dan negaranya.

"Setakat ni ada tiga kelab dari Kemboja dan sebuah kelab dari Thailand menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat saya musim depan.

"Namun saya belum membuat keputusan muktamad lagi sama ada menerima lamaran salah satu kelab berkenaan ataupun terus kekal bersama TFC musim depan," kata Chantha Bin.

Sebelum ini pemain berusia 27 tahun itu antara empat pemain import yang ingin dikekalkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) termasuk Kipre Tchetche, Lee Tuck dan Igor Zonjic manakala pemain dari Korea Selatan, Do Dong Hyun dilepaskan PBSNT musim depan.

Mengulas lanjut, pemain antarabangsa Kemboja yang bakal menyarung jersi negaranya dalam saingan Piala AFF Suzuki bertemu Malaysia di Phnom Penh pada Khamis ini mengakui dia masih berminat untuk menyarung jersi skuad Penyu.

"Saya masih mahu bermain dengan TFC musim depan walaupun mendapat tawaran daripada beberapa kelab lain, mungkin dalam masa terdekat saya akan buat keputusan terbaik," kata bekas pemain kelab Electricite Du Cambodge (Liga Kemboja).

Mengenai kegagalan skuadnya merangkul trofi Piala Malaysia Oktober lalu bertemu Perak, pemain yang memulakan kariernya bersama kelab RC Strasbourg di Perancis itu mengakui begitu kecewa kerana gagal melakar sejarah bersama skuad TFC.

"Kami ingin mencipta sejarah selain mahu membanggakan penyokong selepas kali terakhir muncul juara pada 2001, tapi apa boleh buat, kejayaan yang hampir dalam genggaman berkecai pada 30 saat terakhir," katanya yang kali pertama beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 11:18am
d