arena

Sampai bapa saya pun dikecam: Subkhiddin [UPDATE]

Oleh Zulfaizan Mansor 

KUALA LUMPUR: Faktor keluarga menjadi punca utama Subkhiddin Mohd Salleh bertindak melepaskan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil badan induk itu hari ini.

Subkhiddin menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas dikecam teruk hingga membabitkan ahli keluarganya susulan mutu pengadilan pada aksi final Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Tanpa berselindung, beliau mengakui tidak boleh menerima kecaman yang membabitkan keluarga terutama mengenai bapanya yang sudah meninggal dunia.

“Saya ok, cuma bila saya balik rumah tengok anak saya, dia buka Facebook dan tunjukkan kepada saya (kecaman), ini perkara yang menyentuh hati saya.

“Dia (netizen) boleh sebut kepala bapak (bapa), ada perkataan yang maki nama saya lagi. Kekuatan saya ada dekat keluarga.

“Saya nak sumbangkan jasa terbaik untuk bola sepak, tapi bila tak dihargai begini saya minta maaf, itu prinsip saya. Apabila babitkan keluarga, saya memang sensitif sikit.

“Saya minta maaf kepada presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin), beliau benar-benar bagi peluang kepada saya dan saya sangat berterima kasih kepada beliau,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, hari ini.

Subkhiddin membuat pengumuman mengejut itu selepas berakhir sidang media Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengadil, namun beliau masih belum menyerahkan surat peletakan jawatan.

“Belum (serah surat) lagi, surat sudah ada dan saya akan serahkan kemudian. Jadi tolong, saya betul-betul nak berhenti, saya nak tumpukan kepada keluarga dan mak saya yang sakit,” kata Subkhiddin.

Selain itu, Subkhiddin menjelaskan beliau tetap bersedia untuk membantu FAM berkaitan aspek pengadil walaupun tidak tidak lagi berada di bawah badan induk itu.

“Insya-Allah saya akan tetap membantu pengadil dan dalam ‘road map’ FAM pun ada banyak tujuan nak dapatkan sesuatu yang baik untuk pengadil kita.

“Saya yakin dalam Malaysia ini bukan seorang, ramai lagi bekas pengadil FIFA yang cemerlang,” katanya yang memenangi jawatan EXCO selepas menduduki tempat ketujuh dengan meraih 21 undi pada Kongres FAM Ke-53, Mac lalu.

Berita berkaitan

Subkhiddin lepas jawatan

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 4:28pm
d