arena

Terengganu harap ada velodrom

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyambut baik langkah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu memanfaatkan sebaik mungkin dana RM100 juta diperoleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam pembentangan Belanjawan 2019 Jumaat lalu.

Namun pada masa sama kerajaan negeri berharap ada berita gembira terutama dalam sukan yang didominasi atlet negeri itu bagi memastikan mereka mampu bersaing hebat di peringkat kebangsaan dan dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pembangunan sukan di Terengganu juga harus dilihat terutama pembinaan velodrom basikal di Dungun.

"Seperti kita tahu Terengganu antara negeri yang banyak membekalkan atlet sukan kepada negara. Sudah tentu dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti, akan ada wakil negara dari Terengganu terutamanya dalam sukan basikal, sukan air dan juga olahraga kerana kita mahu melangkah lebih jauh dalam sukan ini.

"Justeru pembinaan velodrom yang sudah dipersetujui di peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas dua kali perbincangan diadakan termasuk selepas pembentangan belanjawan itu akan dapat direalisasikan segera pembinaannya yang saya difahamkan bermula 2019," katanya.

Mengenai peruntukan besar sebanyak RM10 juta kepada sukan eSport , Wan Sukairi berkata kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya sukan baharu.

"Sukan eSport itu adalah sukan baharu yang mula diperkenalkan dalam Sukan Asia baru-baru ini.

"Saya jangkakan dengan komitmen tinggi daripada Syed Saddiq, sukan ini bakal menjadi popular di negara kita dan Terengganu sendiri sudah melancarkannya minggu lalu," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan Terengganu Cycling Team (TSG) di UMT, semalam.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 12:20pm
d