arena

Sanchez tekad 'jerut' Juve

Oleh AFP

LONDON: Alexis Sanchez mengharungi permulaan hambar dalam kerjayanya bersama Manchester United tetapi memberi petanda bakal mempamerkan prestasi yang lebih cemerlang di posisi tengah menjelang pertembungan dengan Juventus, awal pagi Khamis ini.

Penyerang, Romelu Lukaku terlepas aksi ketika United menang 2-1 ke atas Bournemouth, Sabtu lalu kerana cedera manakala Marcus Rashford sekadar memanaskan bangku simpanan dengan Jose Mourinho menggunakan tiga pemain di bahagian serangan iaitu Anthony Martial, Juan Mata dan Sanchez.

Sanchez yang juga bekas pemain tengah Arsenal menjadi watak penting terhadap gol penyamaan United di babak pertama apabila menggerakkan serangan bagi membolehkan Martial meledak gol.

Gol kemenangan yang dijaringkan Rashford selepas dibawa masuk pada babak kedua menjadikan situasi lebih sukar buat Sanchez yang bergelut sejak tiba di Old Trafford, Januari lalu – aksi pertamanya dalam kesebelasan utama sejak 22 September lalu.

Bagaimanapun, Mourinho memuji prestasi ditunjukkan Sanchez yang bijak menyesuaikan diri dengan sistem permainan diterapkannya apabila menegaskan dia tidak memerlukan penyerang tulen bagi menerajui jentera serangan pasukan itu.

“Saya suka dengan corak permainan yang mana tiga pemain di bahagian serangan tanpa mengetahui definisi sebenar pemain sayap sebagai pemain sayap,” katanya yang menambah dia suka dengan pemain bergerak bebas tetapi  mempunyai nafsu seperti penyerang.

“Dan saya sentiasa mempunyai perkara itu dalam pasukan, dengan pemain sayap menjaringkan lebih banyak gol berbanding penyerang.

"Jadi, tidak mustahil sama sekali pemain seperti Rashford, Lukaku dan Alexis ada sekali dalam satu pasukan. Namun, hari ini Romelu tidak dapat bermain dan kami fikir Alexi mampu melakukannya.

"Apa yang dia lakukan, dia menjadi nadi penggerak yang baik, dia mempunyai mobiliti, dia memberi beberapa masalah tetapi pada babak kedua saya tahu bahawa dengan mempunyai dua teman rapat di bangku simpanan, Rashford dan (Jesse) Lingard, saya tahu mereka boleh masuk dan juga memberi impak. "

United akan berkunjung ke Juventus bagi melunaskan dendam selepas tewas aksi pertama 0-1 di Old Trafford yang menyaksikan mereka kini ketinggalan lima mata di belakang juara Itali itu dalam Kumpulan H.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 12:45pm
d