arena

Subkhiddin masih EXCO FAM

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Subkhiddin Mohd Salleh masih lagi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) walaupun sudah mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu sudah menghantar surat peletakan jawatannya semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, surat peletakan jawatan yang diterima itu tidak bermakna hasrat Subkhiddin untuk meninggalkan FAM sudah diterima sepenuhnya oleh EXCO badan induk itu.

“Kami sudah terima surat daripada Subkhiddin dan kami sangat kecewa dengan keputusan beliau. Tapi penerimaan surat itu tidak bermakna kami sudah menerima peletakan jawatan itu.

“Perbincangan mendalam akan dilakukan pada mesyuarat EXCO FAM hujung bulan ini. Kami akan bincang sama ada menerima atau tidak peletakan jawatan itu.

“Buat masa ini beliau masih lagi EXCO FAM, kami terima surat (peletakan jawatan) saja, tapi penerimaan daripada EXCO belum diputuskan lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK18) di sini, malam tadi.

Subkhiddin membuat kejutan apabila mengumumkan melepaskan jawatan sebagai EXCO dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil selepas sidang media di Wisma FAM, semalam.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas pelbagai kecaman yang diterima mengenai mutu pengadilan pada aksi final Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu hingga membabitkan ahli keluarganya.

Berdasarkan kenyataan Stuart itu, FAM tampak berat hati untuk melepaskan Subkhiddin yang jelas memiliki pengetahuan luas dalam aspek pengadilan.

“Benar, ia (keputusan Subkhiddin) mengejutkan. Beliau memiliki latar belakang yang baik dan mempunyai banyak pengalaman di peringkat antarabangsa.

“Berdasarkan perbincangan secara peribadi dengan beliau, saya percaya komen negatif daripada netizen mendorong beliau berbuat demikian (meletakkan jawatan),” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 4:25pm
d