arena

Syakilla harap pengorbanan Deepavali berbaloi 

Oleh Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR: Biarpun tidak dapat merayakan Deepavali, atlet karate negara Syakilla Salni Jefry Krishnan mengharapkan pengorbanan itu berbaloi dalam misinya meraih tiket ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo apabila bertarung dalam Kejohanan Dunia di Madrid, Khamis ini.

"Saya pun sebenarnya sudah tidak ingat bila kali terakhir saya dapat menyambut perayaan Deepavali bersama keluarga kerana selalunya setiap Deepavali saya terpaksa menyertai kejohanan di luar negara.  

"Kami sekeluarga akan menyambut perayaan di Klang, Selangor dan makanan kegemaran yang paling saya rindui adalah idli dengan kari kambing, nasi minyak, dhal kambing dan ayam masak merah," katanya.

Syakilla yang berada di ranking kedua dalam Liga Premier Karate 1 dan berada di tempat ketujuh dunia dalam kategori bawah 55 kilogram, pernah memperoleh pingat perak pada Kejohanan Dunia 2014 di Bremen, Jerman namun bertanding dalam kategori bawah 61kg ketika itu.

"Pada Kejohanan Dunia kali ini, saya harap dapat berada di kedudukan podium kerana saya akan memperoleh tiket automatik ke Tokyo 2020 nanti. Lagipun, saya tidak mahu terlepas kerana ini julung kali karate dipertandingkan pada temasya berprestij itu," katanya.

Pembawa Jalur Gemilang di Sukan Asia Jakarta-Palembang pada Ogos lalu itu berkata, dia juga harap kecederaan buku lalinya yang dialaminya pada bulan lalu tidak akan menghantuinya pada saingan kali ini.

"Saya sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik dan ini adalah peluang keemasan bagi saya untuk memenuhi impian saya ke Olimpik," katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 5:19pm
d