arena

Cheng Hoe miliki barisan terbaik

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan percaya kombinasi pemain muda dan berpengalaman yang dimiliki Harimau Malaya bakal menjadi faktor penting untuk mereka melangkah jauh dalam saingan Piala AFF kali ini.

Beliau berkata, pengendali Tan Cheng Hoe berjaya membentuk pasukan yang memiliki kekuatan tersendiri di setiap bahagian meskipun ada pihak mempertikaikan pemilihan 23 pemain ke kejohanan itu.

“Saya boleh katakan Cheng Hoe memiliki pasukan yang mantap di setiap posisi. Kalau kita lihat semua pemain boleh mengisi tempat dalam kesebelasan utama. Lihat saja posisi penjaga gol, kita ada Khairul Fahmi Che Mat dan Farizal Marlias, kedua-duanya penjaga gawang berpengalaman.

“Penyerang senior Norshahrul Idlan Talaha juga boleh memainkan peranan penting bersama pemain muda Safawi Rasid di bahagian depan, jadi kita tidak hanya mengharap seorang dua pemain saja di setiap bahagian dan jurulatih memiliki pilihan pemain untuk diturunkan,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Daripada 23 pemain itu, Cheng Hoe membawa tujuh pemain muda berusia bawah 23 (B-23) tahun namun cukup berpengalaman di pentas antarabangsa dengan pendedahan di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China tahun ini serta diturunkan dalam beberapa perlawanan persahabatan bersama skuad senior.

Selain itu, lapan pemain daripada skuad 2016 turut dikekalkan antaranya kapten Zaquan Adha Abd Radzak, Ahmad Hazwan Bakri, Syazwan Zainon dan Shahrul Saad.

Menurut Wan Jamak yang membimbing skuad kebangsaan ketika muncul naib juara edisi pertama Piala AFF 1996, Malaysia tiada pilihan selain membawa pulang tiga mata daripada Phnom Penh Khamis ini andai mahu melangkah selesa ke separuh akhir.

“Perlawanan pertama dengan Kemboja, Malaysia perlu menang. Sebaik mereka melangkah pergi ke Phnom Penh, fokus dan matlamat mereka adalah tiga mata. Jika kita boleh meraih kemenangan di tempat lawan, ia akan kurangkan tekanan kita dalam baki perlawanan kumpulan.

“Ia bukan sekadar kemenangan untuk tiga mata, tapi perlawanan dengan Kemboja amat penting untuk moral pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 6:53pm
d