arena

Aksi penentu Kovac

Oleh AFP

BERLIN: Legenda Jerman, Lothar Matthaeus berkata pertembungan antara peneraju Bundesliga, Borussia Dortmund dan Bayern Munich, Sabtu ini akan menjadi misi hidup dan mati pengurusnya, Niko Kovac yang kini teruk dikecam.

Bayern yang sudah enam musim berturut-turut menjuarai liga hadir ke perlawanan berkenaan di kedudukan ketiga dan ketinggalan empat mata di belakang Dortmund.

“Hanya dengan kemenangan akan mengukir semula senyuman penyokong Bayern,” kata Matthaeus, 57. “Perlawanan ini tiba tepat pada waktunya untuk Bayern.

“Banyak perkara buruk yang terjadi untuk tempoh beberapa minggu kebelakangan ini dan pertembungan Sabtu ini menawarkan peluang terbaik buat bekas kelab saya menutup mulut pengkritik.”

Matthaeus adalah bekas tonggak Bayern dan pernah membuat 410 penampilan selain menjaringkan 110 gol buat gergasi Bavaria itu.

Bagaimanapun, kekalahan di Dortmund akan meninggalkan Bayern tujuh mata di belakang pendahulu yang jelas sukar diterima buat barisan pengarah atasan kelab berkenaan.

“Jika (Kovac) berjaya mencari kata-kata semangat yang betul, beliau boleh mengubah nasib pasukannya, beliau tidak boleh membenarkan pasukannya tewas kepada Dortmund,” kata Matthaeus.

Bekas arkitek tengah Bayern, Stefan Effenberg berkata Dortmund yang diperkuatkan dengan dua pemain yang berada di prestasi terbaik Marco Reus dan Jordan Sancho akan turun sebagai pilihan.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 12:18am
d