arena

Kane 'hidupkan semula' Spurs

Oleh AFP

LONDON: Harry Kane menghidupkan peluang Tottenham Hotspur untuk melangkah ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas penyerang England itu meledak gol kemenangan lewat permainan sekali gus membantu kemenangan 2-1 ke atas PSV Eindhoven, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu hanya berbaki 12 minit permainan untuk tersingkir selepas mereka dikejutkan dengan gol pembukaan pemain PSV, Luuk De Jong pada minit kedua.

Bagaimanapun Kane yang juga kapten England, muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan sebelum menanduk masuk gol kemenangan pada lewat permainan.

Dengan berbaki dua perlawanan iaitu di halaman sendiri bertemu Inter Milan pada 28 November depan dan Barcelona (11 Disember), Tottenham kekal menduduki tangga ketiga Kumpulan B.

Bagaimanapun kelab utara London itu kini hanya dibezakan tiga mata saja dengan Inter yang menduduki tempat kedua.

Melabelkan kempen Tottenham musim ini sebagai agak pelik, Pochettino menyatakan ia tidak ubah seperti drama House of Cards.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 8:47am
d