arena

Perak terus ikat Durakovic

Oleh Farah Suhaidah Othman

IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengesahkan jurulatih Mehmet Durakovic sudah menandatangani kontrak untuk terus membimbing pasukan negeri menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, pengendali berasal dari Australia itu sudah menandatangani kontrak bersama persatuan negeri namun belum dimuktamadkan secara rasmi.

“Saya akan umumkan (penyambungan kontrak Mehmet) secara rasmi dalam masa terdekat tapi (kontrak) belum dimatikan setem lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Menerusi laporan NSTP pada 1 November lalu, hasrat Selangor untuk mendapatkan semula khidmat Durakovic bagi mengemudi Red Gaints musim depan tidak kesampaian apabila beliau mahu kekal bersama Perak.

Pengesahan Presiden PAFA itu sekali gus menamatkan persoalan mengenai pendirian bekas pemain import Selangor itu untuk terus mengemudi The Bos Gaurus.

Hasnul berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berhubung pendirian Durakovic.

Bagaimanapun, beliau difahamkan FAS tidak akan mengambil apa-apa tindakan susulan keputusan Durakovic yang difahamkan menandatangani prakontrak bersama mereka sebelum ini.

“Mereka (FAS) juga berjiwa besar dan mahu melihat pasukan mereka diurus dengan baik,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 1:08pm
d