arena

MFL mohon maaf trofi saiz tapak tangan

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Selepas kontroversi membabitkan mutu pengadilan yang lemah pada final Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu FC dua minggu lalu, arena bola sepak tempatan terus dipalit ‘malu’ apabila trofi bagi anugerah Kasut Emas mendapat kritikan pelbagai pihak.

Trofi bersaiz sebesar tapak tangan yang diraih penjaring terbanyak Liga Super dari Selangor, Rufino Segovia (pemain import) dan penyerang Kelantan, Shafiq Shahrudin (pemain tempatan) nyata jauh berbeza dengan kualiti diterima pemenang musim sebelumnya.

Malah, Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut meluahkan rasa kecewanya dengan trofi yang disampaikan pada malam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018 itu dengan beliau mahu pegawai yang menguruskan trofi itu meletakkan jawatan.

Susulan kritikan itu, MFL tampil memohon maaf kepada semua pemenang dan komuniti bola sepak Malaysia atas insiden yang tidak mencerminkan matlamat, visi dan piawaian MFL itu.

“MFL amat kecewa dengan trofi yang dipersembahkan pada ABK yang lalu. Trofi itu tidak memenuhi standard seperti apa yang diharapkan oleh Tunku Ismail, Pengerusi MFL,” menurut kenyataan di laman rasmi Facebook MFL, hari ini.

“MFL sudah mengenal pasti kakitangan yang membuat kesilapan dalam pesanan untuk membuat trofi itu dan beliau cuba untuk menutup perkara itu tanpa sebarang maklumat yang diberitahu kepada pengurusan MFL.

“Seperti dilihat daripada gambar yang dilampirkan, MFL sentiasa memberikan trofi yang sesuai dan mengikut standard.

“MFL juga mengambil inisiatif untuk menghubungi semua pemenang bahawa MFL akan menggantikan trofi itu dengan yang lebih sesuai dengan pencapaian mereka,” kata MFL.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 1:18pm
d