arena

JDT bukan muzium

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Tumpuan kepada pembangunan pemain muda menjadi punca utama tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim terpaksa ‘dikorbankan’ bagi saingan musim depan.

Pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun Twitternya menjelaskan pasukan itu berdepan ‘kebanjiran’ pemain tengah muda sekali gus menyaksikan peluang untuk mereka beraksi terbatas seandainya pemain senior masih kekal bersama Harimau Selatan.

Menurutnya, beliau lebih suka memberi peluang dan membangunkan potensi pemain muda berbakat sebagai pelan jangka masa panjang daripada menyimpan pemain senior seperti Safiq.

“Pelbagai spekulasi timbul mengenai penghijrahan Safiq tetapi yang sebenarnya, kami akan memiliki pemain import yang lebih baik dan lebih muda untuk menggantikan Safiq.

“Pasukan tidak mahu meletakkan pemain dengan gaji yang tinggi hanya untuk memanaskan bangku simpanan. Kami memiliki banyak pemain muda seperti Nazmi Faiz yang beraksi dengan baik pada musim ini dan pemain tengah muda yang lain.

“Kami menandatangani ramai pemain muda. Jika kami menyimpan semua pemain senior, pemain muda kami tidak dapat digunakan sepenuhnya. Tidak perlu menimbulkan spekulasi kerana inilah kebenarannya,” kata Tunku Ismail, malam tadi.

Mengulas lanjut mengenai perpindahan Safiq, Tunku Ismail menegaskan beliau menghargai sumbangan yang diberikan bekas kapten pasukan itu namun sudah tiba masanya untuk memandang ke hadapan.

“Safiq adalah legenda, dia sudah memberikan yang terbaik dan sudah mencapai kemuncaknya. Namun, ini adalah masanya untuk memandang ke hadapan, tidak hanya statik dan membayarnya gaji yang tinggi tetapi jarang menurunkannya.

“Menguruskan sesebuah pasukan membabitkan inovasi, kemajuan dan bergerak ke hadapan. Seperti yang sudah saya katakan banyak kali, JDT adalah pelopor dan bukannya muzium,” katanya.

Sejak menyertai JDT bermula 2013, pemain tengah kebangsaan itu berjaya merangkul lima kejuaraan Liga Super, tiga Piala Sumbangsih serta masing-masing satu Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 3:14pm
d