arena

Kekal rekod bersih

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Skuad futsal lelaki negara jelas serius untuk menebus kehampaan edisi lalu selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan Kejuaraan Konfederasi  Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 dengan mengekalkan rekod bersih apabila memenangi ketiga-tiga perlawanan.

Meskipun sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir semalam susulan kemenangan dramatik 7-5 ke atas Indonesia, anak buah Chiew Chun Yong itu tetap turun dengan semangat tinggi apabila menewaskan Myanmar 3-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Yogyakarta, pagi tadi. 

Kejayaan ini sekali gus mengulangi pencapaian yang dilakukan pada edisi 2008 yang menyaksikan Malaysia mengutip sembilan mata daripada tiga perlawanan namun momentum gagal diteruskan apabila pasukan itu sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga.

Chun Yong ketika dihubungi Sukan NSTP berkata, dia gembira dengan karakter yang ditunjukkan pemainnya sekalipun terpaksa berdepan provokasi daripada penyokong tuan rumah.

“Apa yang mengejutkan pemain dapat mengatasi provokasi daripada penyokong Indonesia dan mereka tidak mudah mengalah.

“Semangat itulah yang mengagumkan saya selain mereka dapat mengikut segala taktikal yang sudah dirancang.

“Saya gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan pemain dalam ketiga-tiga aksi namun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Pasukan ini terus belajar dan tidak akan berhenti di sini,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia membelasah Kemboja 10-0 pada aksi pembukaan sebelum berdepan aksi penuh mendebarkan ketika bertemu Indonesia apabila ketinggalan 5-4 pada awal babak kedua namun pemain membuktikan mereka berada dalam kelas yang tersendiri dengan bangkit meledak tiga gol sebelum menang 7-5.

Menanti mereka di separuh akhir adalah Thailand atau Vietnam yang akan membuat perhitungan bagi menentukan juara Kumpulan B, petang ini.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 3:54pm
d