arena

Intai dua gelaran Mr Universe

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) mengintai dua gelaran Mr Universe untuk diraih atletnya pada Kejohanan Bina Badan Dunia ke-10 di Chiang Mai, Thailand, bulan depan.

Sandaran itu diletakkan kepada Syarul Azman Mahen Abdullah dan Lilian Tan pada saingan yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 17 Disember.

Menurut Setiausaha Kehormat PBBM, Kamarulzaman Kadir, dua atlet berpengalaman itu menjadi taruhan utama pihaknya dalam memastikan dua gelaran dunia mampu dibawa pulang pada tahun ini.

"Saya ada meninjau persiapan mereka, jadi saya berpandangan mereka berkemampuan untuk meraih kejuaraan," jelasnya.

Bagaimanapun, jelasnya Kamarulzaman, semua atlet negara diharapkan berusaha dengan keras kerana sukar untuk melakukan ramalan dengan perkembangan pesat sukan berkenaan.

"Sekarang berbeza, peserta semakin ramai. Mereka tidak boleh selesa walaupun pernah bergelar juara dunia sebelum ini. Ada lawan yang tidak pernah atau jarang menyertai pertandingan di luar, jadi perlu berwaspada," tambahnya.

PBBM masih belum memuktamadkan senarai akhir akhir ke Chiang Mai susulan beberapa perkara yang perlu diselesaikan namun menjangkakan lima hingga enam atlet akan menggalas cabaran negara.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 5:25pm
d