arena

Peluang cerah ke final AFC 2020

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dilihat berpeluang cerah mara ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 yang akan berlangsung di Thailand.

Selepas undian pusingan kelayakan yang berlangsung hari ini, hanya China yang boleh dianggap menjadi penghalang buat anak buah Datuk Ong Kim Swee itu untuk mara sekali lagi ke kejohanan terbesar Asia itu.

Bagaimanapun, China yang dijangka membariskan skuad B-19 ketika ini dan Malaysia juga mengambil pendekatan sama, harus menyaksikan negara Tembok Besar itu mempunyai kelebihan psikologi selepas berjaya menewaskan Malaysia 2-0 pada Kejuaraan B-19 AFC, bulan lalu.

Namun, skuad negara juga mempunyai kelebihan untuk membalas dendam kerana akan menjadi tuan rumah pusingan kelayakan itu yang dijadualkan berlangsung Mac depan dengan juara akan layak secara automatik ke Thailand.

Turut diundi dalam Kumpulan J itu ialah Laos dan Filipina.

Sebanyak 11 juara dan empat naib juara terbaik setiap kumpulan akan mara ke saingan yang menawarkan tiga tiket ke Olimpik Tokyo 2020 sebagai wakil AFC.

Sekiranya Thailand yang juga tuan rumah layak secara merit, satu lagi slot akan dibuka kepada naib juara kelima terbaik.

Pada edisi 2018, Malaysia mencipta kejutan mara ke suku akhir namun tunduk 1-2 di tangan Korea Selatan.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 6:37pm
d