arena

Chong Wei ada hak bersara

Oleh Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Sekiranya Datuk Lee Chong Wei bercadang untuk menggantung raket, dia mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Itu pandangan ketua jurulatih perseorangan lelaki badminton negara, Datuk Misbun Sidek menjelang sidang media khas oleh bekas pemain nombor satu dunia itu di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, esok.

Walaupun belum ada kepastian berhubung tajuk utama sidang media berkenaan, spekulasi kuat menyatakan jaguh berusia 36 tahun itu mahu bersara selepas menghidap kanser hidung baru-baru ini.

Chong Wei yang menjalani rawatan kira-kira dua bulan di Taiwan, pulang ke Malaysia bulan lalu, dan sehingga kini masih belum membuka mulut. 

Esok menyaksikan dia akan tampil kali pertama di depan khalayak.

"Saya enggan membuat sebarang spekulasi tetapi jika dia berhasrat mengumumkan persaraan, jadi kami perlu menghormati keputusannya itu.

"Saya mengenali Chong Wei begitu lama, badminton dan keluarga menjadi dua perkara paling penting dalam hidupnya.

"Sudah banyak pengorbanan yang dia berikan buat negara yang mana kita tidak boleh membalasnya, jadi jika dia bercadang menggantung raket untuk bersama keluarganya, itu haknya," kata Misbun.

Sejak kembali ke sini, Chong Wei membayangkan kepada beberapa kenalan rapatnya betapa badan dia memberi reaksi yang positif kepada rawatan yang dijalani dan kemungkinan boleh beraksi semula awal tahun depan.

Bagaimanapun, terdapat spekulasi pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu mungkin bersara jika doktor menasihati untuknya berbuat demikian.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 7:07pm
d