arena

Bergelut atasi anak buah Kim Her

Oleh Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Sentuhan bekas jurulatih negara memberikan kesukaran kepada beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang terpaksa berhempas pulas sebelum menundukkan lawan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa untuk mara ke pusingan kedua Terbuka China.

Pada perlawanan pembukaan hari ini, pasangan negara yang juga pilihan ketujuh tewas 18-21 pada set pertama sebelum mempamerkan kebangkitan untuk menang 21-19, 21-17 ke atas gandingan India yang mendapat bimbingan bekas pemain dan jurulatih negara, Tan Kim Her.

“Keadaan menjadi rumit apabila menentang lawan yang dilatih bekas pemain dan jurulatih negara. Kami tewas pada set pertama kerana mereka mengetahui taktik dan mengambil kesempatan apabila kami tidak bersedia. Kami mengubahnya untuk memenangi dua set berikutnya.

“Liu Ying dan saya turut menggunakan perlawanan untuk mengetahui keadaan dewan dan gelanggang. Setiap kejohanan memberikan suasana yang berbeza.

“Kami berharap beraksi lebih baik selepas kemenangan pusingan pertama ini,” kata Peng Soon.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan menentang lawan dari Indonesia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti untuk memburu tiket suku akhir esok.

Peng Soon-Liu Ying turut menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara campuran selepas pasangan ketiga negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas 15-21, 5-21 kepada pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

Perseorangan bebas, Liew Daren turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan dari Denmark Jan Jorgensen 18-21, 25-23, 21-6 namun Chong Wei Feng gagal mengatasi pilihan kelapan, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia yang menang 21-11, 21-14.

Pemain negara lain yang beraksi di pusingan kedua esok adalah beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menentang wakil tuan rumah, Liu Cheng-Zhang Nan.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 7:50pm
d