arena

'Malcom masih wujud'

Oleh AFP

BARCELONA: Malcom menangis kegembiraan selepas meledak gol ketika berdepan Inter Milan dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi selepas mengharungi permulaan sukar di Barcelona.

Ditandatangani daripada Bordeaux pada musim panas lalu dengan harga 41 juta euro (RM195.37 juta), penyerang berusia 21 tahun itu sering digambarkan sebagai pemain masa depan, namun kekurangan minit perlawanan mencetuskan persoalan terhadap kemampuannya.

Dia beraksi hambar ketika aksi Copa del Rey menentang Cultural Leonesa, bulan lalu.

Timbul spekulasi mengatakan Malcom diikat atas kehendak kelab bukannya atas permintaan pengendali Ernesto Valverde yang setakat ini hanya sekali menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, jaringannya di San Siro memastikan Barca melepasi saingan peringkat kumpulan walaupun gol lewat Mauro Icardi menafikan pelawat kemenangan untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1.

‘Malcom masih wujud’ tulis tajuk akhbar Diario hari ini, sementara Mundo Deportivo pula menggunakan tajuk ‘Malcom X’.

“Kami amat gembira untuk Malcom,” kata Valverde selepas perlawanan. “Dia menambah ketajaman yang kami tidak miliki pada masa lain.

“Dia sentiasa bekerja keras untuk menjadi lebih baik setiap hari. Dia masih muda dan mempunyai ruang untuk terus meningkat.”

Selepas menyudahkan percubaan kaki kiri, Malcom meraikan golnya di penjuru padang dengan tangannya menekup muka sebelum kemudiannya disertai rakan sepasukannya.

“Ia tangisan yang penuh beremosi,” kata Sergio Busquets. “Dia tidak dapat minit permainan secukupnya tetapi dia bekerja keras sepanjang latihan.”

Malcom pernah dikaitkan dengan Tottenham dan Arsenal tahun lalu, dan hampir menjadi milik Roma sebelum pada saat akhir dirampas Barca.

“Impian saya bersama Barca baharu bermula,” kata Malcom. “Impian saya untuk mencipta sejarah dan mencapai kejayaan besar. Saya perlu berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana terus meletakkan kepercayaan kepada saya.

“Membuat kemunculan sulung dalam Liga Juara-Juara dan menjaringkan gol akan terus kekal di ingatan saya sampai bila-bila.”

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 12:27am
d