arena

Sterling mohon maaf penalti kontroversi

Oleh Reuters

MANCHESTER, England: Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling memohon maaf kepada pengadil dari Hungary, Viktor Kassai selepas meraih penalti biarpun jelas tiada kekasaran yang berlaku ketika kelab itu membelasah Shakhtar Donetsk 6-0 dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Ketika City mendahului 1-0 pada babak pertama, Sterling yang memasuki kotak penalti cuba melambungkan bola tetapi dia tersepak kaki sendiri dan jatuh.

Ia cukup jelas dapat dilihat apabila tiada seorang pemain lawan yang mengasarinya tetapi Kassai menghadiahkan sepakan penalti.

“Saya mahu melambungkan bola dan tidak tahu apa yang berlaku. Saya tidak rasa dikasari, saya memohon maaf kepada pengadil,” kata Sterling selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Shakhtar, Paulo Fonseca hanya ketawa apabila ditanya mengenai keputusan pengadil itu.

“Sukar untuk bercakap mengenai penalti itu selepas keputusan seperti ini. Namun, ia tidak masuk akal, itu saja saya boleh katakan,” katanya.

“Setiap orang dapat melihatnya tapi bukan disebabkan penalti itu kami tewas perlawanan ini.”

Pengurus City, Pep Guardiola bersetuju pengadil silap dan insiden seperti itu membuktikan betapa sistem pengadil bantuan video (VAR) perlu diperkenalkan.

“Kami sedar ia sepatutnya bukan penalti. Kami tidak suka menjaringkan gol dalam situasi seperti itu,” kata Guardiola turut memberitahu Sterling sepatutnya bercakap dengan pengadil ketika itu.

“Pengadil perlu dibantu dan mereka juga pasti tidak mahu melakukan kesilapan. VAR adalah jalan penyelesaiannya.

“Perlawanan berlangsung semakin pantas sekarang. Ia hanya memerlukan 10 saat untuk seseorang bercakap kepada pengadil.”

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 12:52pm
d