arena

Kumar tetap pilihan Oltmans

KUALA LUMPUR: Penjaga gol nombor satu hoki negara, S Kumar tidak beraksi sekali pun disenarai ke Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Muscat baru-baru ini tetapi jurulatih, Roelant Oltmans berharap dia bersedia mengharungi Piala Dunia di India.

Kumar mengalami kecederaan ibu jari kanan ketika di Sukan Asia Indonesia dan berdepan masalah untuk memegang kayu hoki dengan lebih kemas tatkala Malaysia bakal beraksi di Piala Dunia dalam tempoh tiga minggu lagi.

 "Walaupun kami menyenaraikan Kumar untuk saingan ACT, dia tidak turun beraksi dan tugas itu digalas Hairi Rahman dalam semua perlawanan. Ini bukan satu isu kami menyenaraikannya kerana untuk memberi motivasi kepada Hairi dan juga melihat aksi penjaga gol lain.

 "Hairi bertindak cemerlang dengan menyelamatkan beberapa percubaan namun ada juga kelemahan. Bagaimanapun, secara keseluruhan Hairi bertindak cemerlang dan saya percaya dengan Kumar untuk bersedia menjelang Piala Dunia tatkala dia sedang menjalani pemulihan kecederaan sekarang," kata Oltmans.

 Dalam perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia melepaskan empat gol sebelum terikat 4-4 bertemu Pakistan di separuh akhir sebelum tumpas 1-3 dalam penentuan shoot-out.

 Pada aksi penentuan pingat bangsa, Malaysia mencatat keputusan seri 2-2 menentang Jepun dan menang 3-2 menerusi penentuan shoot-out.

 "Ia juga satu petanda positif melihat Hairi beraksi dengan baik dalam penentuan shoot-out menentang Jepun, di mana ia mampu meningkatkan tahap keyakinannya.

 "Kami mempunyai empat penjaga gol dalam latihan sekarang dan ia bukan satu masalah jika berlaku perkara tidak diingini. Bagaimanapun, saya percaya Kumar akan bersedia menjelang Piala Dunia," katanya.

 Saingan sengit dijangka berlaku dalam Kumpulan D apabila Malaysia diundi bersama Jerman, Belanda dan Pakistan.

 Berdasarkan format hanya tiga pasukan terbaik dari setiap empat kumpulan mara, manakala pasukan terakhir dalam kumpulan akan tersingkir.

 Ini bermakna Malaysia harus menumpaskan Pakistan jika tidak mahu pulang awal di kejohanan berkenaan.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 12:17am
d