arena

Leicester bina tugu Vichai

Oleh Reuters

LONDON: Leicester City akan mengenang jasa bekas pengerusi Vichai Srivaddhanaprabha dengan membina tugu peringatan di luar gelanggang kelab Liga Perdana Inggeris itu, Stadium King Power susulan kematiannya dalam nahas helikopter bulan lalu.

Bilionair Thailand berusia 60 tahun itu meninggal dunia pada 27 Oktober lalu bersama empat lain apabila helikopter dinaikinya terhempas di luar stadium selepas perlawanan.

Anak lelakinya yang juga naib pengerusi Aiyawatt mengesahkan mengenai pembinaan tugu itu dalam buku cenderamata yang akan diberikan kepada semua penyokong pada perlawanan Liga Perdana menentang Burnley di laman sendiri malam ini.

“Kami tidak mampu membalas apa yang beliau lakukan terhadap kami, bagi saya sebagai anak lelaki, kami sebagai keluarganya, setiap orang yang berkaitan dengan Leicester City namun kami komited untuk mengingatinya dan mengekalkan legasinya,” tulis beliau.

“Perkembangan pesat kami sebagai kelab, tempat latihan baru serba canggih dan cadangan menaik taraf stadium akan membantu merealisasikan visinya buat Leicester City.

“Saya bercadang membina tugu bapa saya di luar Stadium King Power, sebagai mengenang jasanya yang menjadikan segalanya mungkin. Beliau akan sentiasa berada di hati kita dan tidak akan dilupakan.”

Sepanjang lapan tahun Vichai sebagai pemilik, Leicester mencetus satu daripada kejutan terbesar bola sepak apabila memenangi kejuaraan Liga Perdana pada 2016.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 8:22am
d