arena

City tak lepas Sterling

Oleh Reuters

MANCHESTER, England: Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling menandatangani sambungan kontrak tiga tahun sekali gus kekal beraksi di kelab itu hingga 2023, menurut juara Inggeris itu semalam.

Pemain England berusia 23 tahun itu, yang meledak tujuh gol dalam 14 perlawanan musim ini berkata, dia berada di tempat terbaik untuk meningkat sesudah bermain di beberapa posisi di bawah kendalian Pep Guardiola.

Media Britain melaporkan perjanjian mengikat Sterling bernilai £300,000 (RM1.6 juta) seminggu, yang menjadikannya antara pemain dengan gaji termahal dalam liga itu.

“Saya gembira untuk menandatangani kontrak ini,” katanya kepada laman web kelab itu. “Peningkatan saya di sini amat mengagumkan.

“Saya berasa ia pilihan yang tepat buat saya sejak saat pertama saya menjejakkan kaki di sini. Ia berbaloi dan saya amat bersyukur.”

Sterling menyertai City dari Liverpool dengan harga £49 juta (RM266 juta) pada 2015 dan memenangi liga serta Piala Liga Inggeris musim lalu.

“Ini saat yang penting buat kelab ini,” kata pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain.

“Raheem meningkat secara dramatik dalam dua musim terakhir dan kini salah seorang daripada penyerang terbaik Liga Perdana. Statistik membuktikannya.

“Dia pantas, kuat dan cemerlang di depan gol, semua ciri yang diperlukan penyerang zaman moden untuk berjaya. Kami bangga dia komited dengan masa depannya di City.”

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 9:45am
d