arena

Guardiola unggul banding Mourinho

Oleh AFP

MANCHESTER, England: Manchester United beralih kepada Jose Mourinho sebagai penawar terhadap “jiran bising” mereka Manchester City yang akhirnya berjaya memenuhi impian lama mendapatkan khidmat Pep Guardiola sebagai pengurus pada 2016.

Bertemu semula di barat laut England selepas dua tahun berkonfrontasi dalam permusuhan Barcelona-Real Madrid, yang mana Mourinho menamatkan dominasi tiga musim Guardiola dalam La Liga, United jelas berharap pengendali dari Portugal itu boleh sekali lagi mengatasi musuhnya dari Catalan.

Namun kini dalam musim ketiga mereka mengendalikan pasukan, Guardiola jelas membayangi Mourinho dengan pasukan biru Manchester lebih dominan di bandar raya itu.

Menang aksi pertembungan jiran tetangga Manchester awal pagi Isnin ini dan City akan melonjak 12 mata di depan United hanya selepas 12 perlawanan musim ini, jurang yang semakin besar dalam setiap tiga tahun terakhir.

Musim sebelum kehadiran mereka, hanya perbezaan gol menyaksikan City mengatasi United di tangga keempat Liga Perdana Inggeris dan kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Di sebalik musim sulung sukar buat Guardiola dalam kancah bola sepak Inggeris, City menamatkan kempen itu sembilan mata di depan musuh setempat mereka.

Musim lalu jurang itu melonjak kepada rekod 19 mata antara pasukan juara dan tangga kedua dengan City merangkul kejuaraan selepas mengumpul 100 mata.

“Ada kerja yang berkualiti, teratur dan saya fikir ia sukar dikekang,” akui Mourinho pada sidang akhbar awal pagi tadi.

City dilihat sukar digugat ketika ini. Sekali lagi menghuni tangga teratas Liga Perdana, kelebihan perbezaan 29 gol berbanding hanya satu buat United menceritakan nasib berbeza kedua-dua pasukan setakat ini musim ini.

United sekurang-kurangnya menunjukkan kemajuan sejak akhir-akhir ini, bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Newcastle, Bournemouth dan paling mengagumkan juara Itali, Juventus pada pertengahan minggu.

Namun setiap kemenangan itu menyaksikan mereka bergelut. Hanya dua kali mereka menang lebih satu gol sepanjang musim, berbanding kemenangan besar City dalam 12 perlawanan.

Guardiola turut mempunyai rekod menakjubkan menentang Mourinho, hanya kalah lima kali dalam 21 pertemuan.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 11:39am
d