arena

KBS fokus sukan bukan Olimpik

Oleh Haika Khazi

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini memberi jaminan tidak akan mengabaikan mana-mana atlet di bawah sukan yang tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong berkata, walaupun tidak dipertandingkan di peringkat Olimpik, sukan-sukan lain seperti bowling, sepak takraw, skuasy dan sukan-sukan lain yang berpotensi mencapai pingat emas di kejohanan antarabangsa seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA turut akan mendapat perhatian demi kemajuan sukan Malaysia secara lebih menyeluruh. 

Steven berkata di samping peruntukan RM100 juta untuk persiapan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, MSN juga akan menerima peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM88 juta manakala Institut Sukan Negara (ISN) pula sebanyak RM15 juta seperti diumumkan menerusi Bajet 2019.

Berikutan itu KBS akan menggerakkan beberapa program penajaan, pemasaran dan penjanaan pendapatan daripada sumber lain bagi menjamin kelestarian peruntukan jangka panjang untuk menghasilkan atlet yang lebih berdaya-saing.

Berikutan itu MSN juga sudah menjemput persatuan-persatuan sukan untuk hadir ke satu bengkel penstrukturan semula program latihan atlet kebangsaan yang bakal diadakan pada 13 dan 14 November 2018 depan dan membentangkan rancangan serta strategi persatuan bagi menempuh Sukan Olimpik. Manakala, bengkel untuk sukan para pula dijangka akan diadakan pada 14 dan 15 November 2018.

"Justeru tiada sebab ada pihak yang gusar tentang kekurangan dana untuk pembangunan sukan. Dalam keadaan kewangan negara yang mencabar, kerajaan bertekad untuk terus memberikan komitmen yang tinggi terhadap sukan,” kata Steven dalam satu kenyataan.

"Tanggungjawab bersama KBS dan Persatuan Sukan Kebangsaan ialah memastikan peruntukan wang cukai rakyat dimaksimakan secara cekap, berteraskan akauntabiliti dan telus demi memajukan sektor sukan negara. 

"Matlamat bersama KBS dan Persatuan Sukan Kebangsaan melalui penstrukuran semula program latihan atlet kebangsaan ialah untuk memastikan atlet negara menampilkan prestasi yang cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo 2020, malah kesan limpah daripada pembangunan model baru program latihan atlet ini akan dapat dijelmakan sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028."

 

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 5:48pm
d